Thursday, August 28, 2008

Surat Terbuka Kepada Majlis Tertinggi UMNO


Kepada: Majlis Tertinggi UMNO

Selamat Sejahtera,

Sebagai rakyat Malaysia, kami ingin mengemukakan bantahan sekeras-kerasnya dan meluahkan kekecewaan terhadap satu kenyataan Ketua Bahagian UMNO, Bukit Bendera; En. Ahmad Ismail yang dibuatnya pada 23 Ogos lalu.

Akhbar Sin Chew Daily dalam laporannya di muka surat lapan bertarikh 25 Ogos 2008 memetik Ahmad Ismail sebagai berkata: “ Bangsa Cina hanya menetap sementara di Malaysia.’’ Dalam laporan tersebut, dia juga mengatakan Bangsa Cina tidak akan bertindak saksama kepada kaum-kaum lain.

Ahmad Ismail seterusnya mempersoalkan kemampuan Bangsa Cina di negara ini untuk membahagikan kekayaan mereka secara saksama kepada semua rakyat selain mempertikaikan keikhlasan Bangsa Cina untuk bertindak adil kepada semua. (terjemahan dari Sin Chew Daily).

Menurut Perlembagaan Malaysia 8(2) “Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan ini, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama, keturunan atau tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan memperolehi, memegang atau melepaskan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan, profesion, vokesyen atau pekerjaan”.

Kenyataan berbaur diskriminasi ke atas bangsa-bangsa lain itu jelas membelakangi semangat Perlembagaan Malaysia dan ia tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin UMNO!

Artikel 14 Perlembagaan Malaysia menyebut ia menjamin hak sivik semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia adalah termasuk rakyat yang berbangsa Cina, maka bangsa Cina tidak boleh dianggap sebagai penetap sementara.

Oleh yang demikian, kami menyeru bahawa pihak UMNO dapat mengambil tindakan-tindakan yang berikut:

1) Ahmad Ismail perlu menarik balik pertuturannya melalui media massa, serta memohon maaf kepada komuniti Cina,
2) Majlis Tertinggi UMNO harus mengambil tindakan disiplin atas Ahmad Ismail, umpamanya menggantung keahliannya,
3) UMNO perlu menasihati semua ahli UMNO supaya kenyataan berbaur ekstremis tidak akan berulang kembali.

Kami berharap agar gesaan kami akan dipandang serius oleh pucuk kepemimpinan UMNO, serta memberi penjelasan yang sewajarnya dalam kadar segera.

Kami mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ahmad Ismail berhubung kenyataan beliau yang jelas melanggari semangat Perlembagaan Malaysia.

Sekian, terima kasih.


Daripada,

Sekumpulan Rakyat Malaysia yang Mencintai Keamanan dan Keharmonian Negara

Tarikh: 28 Ogos 2008

2 comments:

Rashiman bin Abdullah said...

Tidak, ia tidak masuk akal langsung. Kenyataan yang amat berunsul perkauman ini patut diberi amaran yang sekuat mungkin dari pemimpin pusat UMNO kerana ini telah mengancam keamanan masyarakat negara kita yang selama ini mengamalkan sikap hormat-menghormat di antara kaum.

UNCLE BOO said...

Terima kasih Rashiman.